AUSTIN - Syarikat gergasi automotif elektrik, Tesla, secara rasminya melancarkan perkhidmatan robotaksi autonomi baharu menggunakan model Cybercab yang beroperasi sepenuhnya tanpa stereng dan pedal kawalan pemanduan fizikal di Austin, Texas.
Pelancaran komersial ini menandakan fasa baharu dalam industri pengangkutan autonomi di Amerika Syarikat, selepas hampir dua tahun model prototaip Cybercab diperkenalkan pada Oktober 2024 serta susulan pengeluaran rasmi di Kilang Gigafactory Texas.
Buat peringkat permulaan, perkhidmatan kenderaan tanpa pemandu ini disediakan secara terhad di kawasan yang ditetapkan menerusi sistem geolokasi (geofenced) di sekitar bandar Austin.
Dari segi reka bentuk, Cybercab dibina khas untuk membawa dua penumpang dengan kemudahan pintu jenis kepak rama-rama (butterfly doors) yang dibuka dan ditutup secara automatik. Kenderaan ini turut dilengkapi ruang simpanan bagasi di bahagian belakang.
Memasuki ruangan kabin, penumpang disajikan dengan paparan skrin sentuh gergasi di bahagian tengah untuk mengawal fungsi kenderaan, memantau maklumat perjalanan, serta mengakses pelbagai sistem hiburan digital.
Bagi perancangan jangka panjang, Tesla berhasrat menawarkan unit Cybercab kepada pembeli persendirian pada harga di bawah AS$30,000 (sekitar RM128,000) seunit. Inisiatif ini sekali gus membuka peluang kepada pemilik awam untuk mendaftarkan kenderaan mereka ke dalam rangkaian armada robotaksi Tesla pada masa hadapan.