Tempahan Honda City Hatchback 2026 Kini Dibuka

KUALA LUMPUR – Honda Malaysia secara rasminya mengumumkan pembukaan tempahan bagi model Honda City Hatchback Baharu, susulan pelancaran varian sedan sebelum ini.

Langkah berkenaan diambil bagi memperkukuh julat penawaran model City menerusi dua reka bentuk rekaan badan berbeza bagi memenuhi keperluan gaya hidup serta cita rasa pengguna yang pelbagai.

Model hatchback kompak popular ini tampil dengan kemasan rekaan luaran yang lebih segar, ketersambungan digital yang ditambah baik, serta sistem keselamatan komprehensif khas buat golongan profesional muda.

Rekaan Luaran Sporty Dan Kabin Moden

Bagi penampilan luaran, Honda City Hatchback Baharu hadir dengan profil bahagian hadapan yang lebih tajam menerusi penawaran New Connected Headlights. Varian RS pula diseri dengan rim aloi dwitona 16 inci dalam kemasan Berlina Black dan Dark Clear.

Di bahagian kabin, papan pemuka diperkemas dengan 3D Pattern Mid Garnish with Ambient Light serta unit skrin 10-inch Display Audio jenis terapung.

Dari segi kepelbagaian ruang, ciri ikonik ULTRA Seats kekal ditawarkan dengan empat mod konfigurasi tempat duduk mengikut keperluan pengguna.

Enjin 1.5L e:HEV Dan Pakej Jaminan 8 Tahun

Bagi varian tertinggi, hatchback ini dikuasakan oleh enjin 1.5L e:HEV yang menghasilkan kuasa 109PS dan tork 253Nm, lengkap bersama jaminan bateri hibrid selama 10 tahun tanpa had perbatuan.

Sistem keselamatan turut dipertingkat menerusi ciri kamera 360 darjah (Multi-View Camera System), Pemantau Titik Buta (Blind Spot Monitor), serta Pemantauan Trafik Lintas Belakang (Rear Cross Traffic Alert).

Menariknya, pengalaman pemilikan kenderaan Honda kini diperkasakan lagi menerusi pengenalan pakej jaminan lapan tahun tanpa had perbatuan bagi semua model petrol dan hibrid baharu bermula 1 September 2026.

© 2026 TipTalk. All Rights Reserved.