SINGAPURA - Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura akan mengenakan denda maksimum sehingga S$500 (kira-kira RM3.20 bagi S$1) terhadap mana-mana penumpang yang melakukan perbuatan mengganggu atau tidak sopan di dalam bas awam, hab pertukaran, serta terminal bas bermula 23 September ini.
Menurut kenyataan rasmi LTA, tindakan tegas itu terpaksa diambil bagi membendung perbuatan seperti meletakkan kaki di atas tempat duduk, memainkan muzik atau audio dengan kelantangan tinggi, membuang sampah, serta makan dan minum sewaktu berada dalam bas.
Langkah penguatkuasaan baharu ini dimaktubkan di bawah Peraturan Industri Perkhidmatan Bas (Kawalan Tingkah Laku dan Aktiviti) 2026 yang dikemas kini.
Lagi kesalahan yang lebih parah—seperti menghalang kelancaran lalu lintas, membahayakan keselamatan orang ramai, atau mengotorkan premis pengangkutan—pesalah boleh berdepan hukuman denda maksimum sehingga S$5,000, selaras dengan penalti sistem transit rel (MRT) sedia ada.
Di bawah garis panduan terbaharu ini, hanya kakitangan pengangkutan yang diiktiraf seperti pemeriksa tiket dan pegawai hab pertukaran diberikan kuasa untuk mengeluarkan notis rasmi kepada individu yang melanggar peraturan.
Manakala pemandu bas tidak diberikan kuasa mengeluarkan saman bagi memastikan tumpuan mereka tidak terganggu daripada mengendalikan kenderaan dengan selamat.
Walau bagaimanapun, pemandu bas berhak memberi teguran awal, mengarahkan penumpang degil keluar dari kenderaan, serta menghubungi Pusat Kawalan Operasi atau pihak polis jika situasi menjadi tidak terkawal.
Pihak LTA turut menegaskan bahawa proses penguatkuasaan akan tetap dilaksanakan secara adil dan berhemah, dengan pertimbangan khusus diberikan kepada penumpang yang mempunyai masalah kesihatan fizikal atau mental.