Operasi Imigresen Lebuh Pudu: 472 Warga Asing Ditahan Dalam Serbuan Mega

KUALA LUMPUR — Seramai 472 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Mega di sekitar Lebuh Pudu, di sini, semalam.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada kira-kira 2,500 warga asing yang diperiksa dalam operasi bermula jam 11 pagi, susulan aduan mengenai kehadiran ramai warga asing serta premis perniagaan yang dipercayai beroperasi secara haram di kawasan berkenaan.

Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata, operasi itu membabitkan 337 pegawai, terdiri daripada 218 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan 119 pegawai daripada agensi penguatkuasaan lain.

Agensi terbabit termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, warga Bangladesh merekodkan jumlah tertinggi ditahan iaitu 364 lelaki, diikuti warga Myanmar seramai 57 orang, terdiri daripada 49 lelaki dan lapan wanita.

Turut ditahan lapan lelaki warga Nepal; tujuh warga Indonesia; tujuh warga Pakistan; enam warga India; sembilan warga Filipina; tiga warga China serta masing-masing seorang warga Zimbabwe dan Arab Saudi.

Jumlah keseluruhan yang kita tangkap ialah 472 orang. Kesemua yang ditahan berumur antara 18 hingga 62 tahun, terdiri daripada 439 lelaki dan 33 perempuan.

“Kesemua tahanan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya selepas operasi berkenaan.

© 2026 TipTalk. All Rights Reserved.