KUALA LUMPUR - Isu pengubahsuaian kenderaan kini kembali menjadi perdebatan hangat selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 37 kenderaan yang diubah suai secara ekstrem dalam operasi di ibu negara baru-baru ini.
Selain isu pelanggaran undang-undang jalan raya, pemilik kenderaan yang suka menukar sport rim, menurunkan suspensi (lowered), atau memasang body kit kini berdepan risiko lebih besar—iaitu kehilangan hak tuntutan insurans jika berlaku kemalangan.
Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mengingatkan pemilik kenderaan bahawa sebarang perubahan daripada spesifikasi asal pengeluar wajib dimaklumkan kepada syarikat insurans.
"Jika pengubahsuaian tidak diisytiharkan dan berlaku kemalangan akibat perubahan tersebut, syarikat insurans berhak menolak liabiliti dan menafikan tuntutan di bawah polisi berkenaan," tegas kenyataan PIAM.
Pengubahsuaian pada enjin, sistem turbocharger, atau penambahan aksesori aftermarket bernilai tinggi bukan sahaja menukar penampilan kereta, malah mengubah profil risiko serta kos pembaikan kenderaan tersebut secara drastik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif platform perbandingan insurans BJAK, Ronald Lim, ramai pemilik menganggap modifikasi sebagai penambahbaikan biasa, namun sudut pandang penyedia insurans adalah berbeza.
"Bagi pemilik, ia mungkin sekadar naik taraf rupa paras. Namun dari sudut pandang insurans, ia mengubah nilai keseluruhan dan risiko kenderaan."
"Pengguna perlu memahami kesannya terhadap perlindungan sebelum kemalangan berlaku, bukan hanya menyedarinya sewaktu mahu membuat tuntutan," jelas Ronald Lim.
Sehubungan itu, pemilik kenderaan dinasihatkan untuk menyemak terma perlindungan serta membandingkan polisi daripada pelbagai syarikat insurans sebelum memperbaharui insurans kenderaan yang telah diubah suai.