Mbappe Antara 26 Individu Terkenal Sasaran Komplot Penculikan

PARIS - Bintang Real Madrid dan penyerang Perancis, Kylian Mbappe, dilaporkan antara 26 individu terkenal yang menjadi sasaran komplot penculikan oleh kumpulan penjenayah di Perancis.

Menurut laporan media tempatan, kumpulan berkenaan dipercayai merancang untuk menculik beberapa individu berprofil tinggi termasuk pemain bola sepak, penyanyi rap serta ahli perniagaan berpengaruh.

Akhbar Le Parisien melaporkan komplot itu didakwa dikendalikan seorang remaja berusia 18 tahun yang dikenali sebagai Clement L.

Namun, siasatan pihak berkuasa mendapati individu yang dipercayai mengetuai kumpulan terbabit sebenarnya sudah berada dalam penjara selepas didapati terbabit dalam kes rompakan bersenjata.

Suspek berkenaan sebelum ini dikenal pasti sebagai salah seorang daripada dua lelaki yang menyerang seorang pembuat jam di Paris.

Pihak berkuasa kemudian menemui bukti bahawa suspek masih mengarahkan kegiatan kumpulan itu dari dalam penjara menggunakan dua telefon bimbit.

Arahan tersebut dipercayai disampaikan menerusi aplikasi Snapchat menggunakan nama samaran ‘Lester Z’.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan, alamat kediaman 26 individu kaya ditemui dalam telefon bimbit yang dirampas daripada suspek.

Antara nama yang terdapat dalam senarai itu ialah Mbappe, selain seorang ahli perniagaan dari China, beberapa peniaga barang kemas dan seorang peniaga daging dari Turkiye.

“Dua telefon bimbit dirampas pengawal penjara dan kandungannya sangat mendedahkan.

“Dia juga mahu menyasarkan seorang penyanyi rap dan pemain bola sepak, Kylian Mbappe,” kata sumber itu kepada Le Parisien.

Sementara itu, Clement L ketika disoal siasat menafikan dirinya sebagai dalang utama komplot berkenaan.

Remaja itu turut memohon untuk dibebaskan daripada tahanan bersendirian, selain menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian dan mengejar cita-cita menjadi cef.

Dia dilaporkan pernah berhenti sekolah ketika mengikuti pengajian vokasional dalam bidang masakan.

Bagaimanapun, permohonannya ditolak dan dia kekal dalam tahanan bersendirian sementara siasatan terhadap komplot berkenaan diteruskan.

© 2026 TipTalk. All Rights Reserved.