SHAH ALAM - Fenomena buih yang memenuhi sebahagian Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dipercayai berpunca daripada sisa sabun yang tertumpah daripada sebuah lori sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Sarudin Samah, berkata tumpahan sisa sabun itu dipercayai berlaku pada 24 Ogos lalu di susur Kota Kemuning sebelum mengalir masuk ke Lebuhraya KESAS menghala ke Klang.
Kawasan yang terjejas membabitkan Kilometer 30 hingga Kilometer 30.5, meliputi jarak kira-kira 500 meter.
Menurut beliau, pihak bomba telah mengambil tindakan awal dengan menaburkan serbuk kayu di sepanjang kawasan berkenaan bagi menangani tumpahan tersebut.
Bagaimanapun, hujan lebat yang berlaku pada 3 September menyebabkan sisa sabun yang masih berada di lokasi menghasilkan buih dalam jumlah yang banyak.
Susulan itu, pihak konsesi lebuh raya menjalankan kerja-kerja pembersihan untuk kali kedua bagi membersihkan kawasan yang terjejas.
Operasi pembersihan berkenaan selesai pada jam 4.58 petang.
Sebelum ini, kejadian tersebut turut menjadi perhatian selepas beberapa rakaman video keadaan lebuh raya yang dipenuhi buih tular di media sosial.