Isu Pelarian Myanmar: Anwar Tegaskan Keselamatan Dan Kepentingan Rakyat Malaysia Diutamakan

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan bahawa sebarang pendekatan dalam menguruskan isu pelarian Myanmar di negara ini akan sentiasa meletakkan keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia sebagai keutamaan tertinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan komitmen berkenaan menjadi teras utama kepada usaha penyelesaian tuntas kerajaan, termasuk menerusi kerjasama diplomatik bagi proses penghantaran pulang secara sukarela dan berfasa.

Menurut beliau, tindakan berstruktur kini sedang dilaksanakan menerusi pengukuhan penguatkuasaan, penyelarasan merentasi agensi keselamatan, serta perundingan berterusan bersama kerajaan Myanmar.

“Isu pelarian Myanmar bukanlah satu permasalahan baharu, sebaliknya merupakan legasi puluhan tahun yang memberi tekanan besar kepada negara dari sudut keselamatan, sosial dan pengurusan."

“Insya-Allah, saya akan memastikan isu ini ditangani secara tuntas dengan keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia diberi keutamaan, berlandaskan undang-undang serta nilai kemanusiaan,” kata beliau menerusi satu hantaran di media sosialnya.

Fasa Pertama Penghantaran Pulang Bermula

Hasil rundingan diplomatik antara kedua-dua negara, seramai 5,000 pelarian Myanmar dipersetujui untuk dihantar pulang secara sukarela dan berperingkat.

Sebagai permulaan, seramai 1,476 pelarian telah memulakan proses penghantaran pulang fasa pertama hari ini selepas melepasi semua prosedur penentusahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kedua-dua belah pihak.

Langkah ini diharapkan dapat mengurangkan kebergantungan dan beban pengurusan pelarian yang ditanggung negara sejak sekian lama.

© 2026 TipTalk. All Rights Reserved.