KUALA LUMPUR - Bencana jerebu merentas sempadan semakin membimbangkan apabila sebanyak 14 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 9 pagi ini.
Berdasarkan data terkini daripada portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Sarawak menjadi negeri paling teruk terjejas apabila merekodkan 10 lokasi dalam kategori tidak sihat.
Sibu mencatatkan bacaan IPU tertinggi di Sarawak iaitu 178, diikuti Sri Aman (169), Mukah (168), stesen pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian (160) dan Kuching (157).
Turut mencatatkan kualiti udara tidak sihat di negeri berkenaan ialah Samalaju, Bintulu, Kapit dan Sarikei yang masing-masing merekodkan bacaan 156, manakala Samarahan mencatatkan IPU 155.
Di Semenanjung Malaysia dan Sabah, situasi serupa turut dilaporkan di beberapa kawasan utama. Putrajaya merekodkan IPU pada paras 151, diikuti Shah Alam di Selangor (109) serta Nilai di Negeri Sembilan (108).
Satu lagi kawasan yang mencatatkan kualiti udara tidak sihat ialah di stesen pemantauan Politeknik Kota Kinabalu, Sabah dengan bacaan 103.
Secara keseluruhan, sebanyak 51 kawasan di seluruh negara berada pada tahap sederhana, manakala hanya tiga kawasan masih mengekalkan kualiti udara pada tahap baik.
Sebagai makluman, skala IPU mengklasifikasikan bacaan 0 hingga 50 sebagai kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas sebagai paras berbahaya kepada kesihatan.