KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol RON97 dan RON95 serta diesel masing-masing mencatat penurunan bagi tempoh berkuat kuasa terbaharu, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
RON97 kini dijual pada harga RM4.25 seliter, manakala RON95 pada RM3.77 seliter.
Harga diesel pula ditetapkan pada RM4.67 seliter.
MOF berkata, penurunan itu selaras dengan pergerakan harga minyak mentah dunia yang berada pada paras lebih rendah bagi sebahagian besar tempoh pengiraan di bawah Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM).
Bagaimanapun, harga minyak kembali meningkat menjelang penghujung tempoh berkenaan susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat.
Menurut kementerian itu, walaupun harga minyak mentah Brent telah menyederhana daripada paras tertinggi ketika konflik Asia Barat memuncak, pasaran produk petroleum bertapis global masih berdepan kekangan bekalan.
Keadaan itu didorong beberapa faktor termasuk gangguan aliran petroleum menerusi Selat Hormuz, pengurangan kapasiti penapisan di beberapa negara serta sekatan eksport bahan api.
“Faktor-faktor ini dijangka terus menyebabkan turun naik harga dalam tempoh terdekat,” menurut MOF.
Dalam perkembangan berkaitan, China juga mula melonggarkan sekatan eksport produk petroleum bertapis yang dilaksanakan sejak Mac 2026.
MOF berkata, meskipun jumlah eksport mula meningkat semula sejak Julai, bekalan beberapa produk petroleum ke pasaran serantau masih belum kembali sepenuhnya ke paras sebelum konflik.
Kerajaan pada masa sama akan terus mengambil langkah bagi melindungi rakyat dan sektor perniagaan daripada kesan ketidaktentuan ekonomi global.
Antara langkah yang diteruskan ialah pemberian subsidi bersasar menerusi BUDI MADANI kepada pengguna yang memenuhi syarat kelayakan.