KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan suaminya, Ramachandran Muniandy disahkan telah bercerai selepas 18 tahun mendirikan rumah tangga.
Perkara itu dinyatakan dalam ruangan About Me di laman web rasmi Hannah yang memaklumkan pasangan berkenaan berkahwin pada Januari 2008.
Menurut kenyataan itu, hasil perkahwinan tersebut, pasangan berkenaan dikurniakan dua cahaya mata, Shay yang dilahirkan pada 2011 dan Kayleigh pada 2013.
“Hannah berkahwin dengan Ramachandran Muniandy dan dikurniakan dua cahaya mata, Shay pada 2011 dan Kayleigh pada 2013, sebelum mereka bercerai selepas 18 tahun mendirikan rumah tangga pada 2026,” menurut kenyataan tersebut.
Hannah dan Ramachandran, masing-masing berusia 47 tahun, dilaporkan pertama kali bertemu di sebuah gereja sebelum kedua-duanya menyertai DAP pada 2007.
Hannah yang merupakan Ahli Parlimen Segambut pertama kali memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Beliau kini turut memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Naib Pengerusi parti serta anggota Jawatankuasa DAP Wanita.