OpenAI Lancar ChatGPT Untuk Microsoft Word: Edit Dokumen Jadi Lebih Pantas

Sektor kecerdasan buatan (AI) terus merevolusikan produktiviti pejabat apabila OpenAI melancarkan integrasi khas ChatGPT untuk Microsoft Word yang kini boleh diakses oleh pengguna secara global.

Inisiatif terbaharu ini dirancang untuk memudahkan urusan penyediaan serta penyuntingan dokumen digital, sekali gus menghentikan kebiasaan pengguna yang perlu bertukar aplikasi atau pelayar web secara berasingan semata-mata untuk menggunakan ChatGPT.

Menerusi ruangan panel sisi (side panel) baharu yang disediakan, pengguna boleh mengarahkan ChatGPT untuk menyemak tatabahasa, menambah baik struktur ayat, mengolah nota ringkas menjadi draf lengkap, serta mengubah format teks secara terus pada dokumen yang sedang dibuka.

Langkah ini secara tidak langsung menyelesaikan masalah proses salin dan tampal (copy-paste) kandungan yang kerap membuang masa, selain mempercepatkan tempoh penyyiapan tugasan penulisan.

Boleh Diakses Semua Pelan Termasuk Pengguna Percuma

Menurut kenyataan OpenAI, aplikasi tambahan (add-in) ChatGPT untuk Word ini ditawarkan kepada seluruh spektrum pengguna merangkumi akaun Free, Plus, Pro, Business, Enterprise serta Edu, tertakluk kepada had penggunaan harian masing-masing.

Bagi mereka yang mahu mula menggunakannya, aplikasi tambahan ChatGPT ini boleh dimuat turun secara percuma menerusi Microsoft Marketplace sebelum diaktifkan pada paparan Word.

Integrasi ini dibina menggunakan struktur add-in yang sama seperti perisian Microsoft Excel dan PowerPoint yang diperkenalkan sebelum ini.

OpenAI turut memaklumkan bahawa bermula 1 Oktober 2026, akses ChatGPT untuk Word akan diaktifkan secara automatik bagi pemilik akaun Business, Enterprise dan Edu, mengikut tetapan keselamatan yang ditetapkan oleh pentadbir Microsoft 365 organisasi masing-masing.

© 2026 TipTalk. All Rights Reserved.