Amaran Ribut Petir Dan Hujan Lebat Di 8 Negeri, Labuan Hingga Tengah Hari Ini

KUALA LUMPUR — Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang di lapan negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dijangka berlarutan sehingga jam 12 tengah hari ini.

Menurut kenyataan rasmi MetMalaysia, cuaca buruk tersebut diramalkan melanda keseluruhan negeri Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Labuan, selain beberapa daerah di Kedah, Perak, Johor, Sabah serta Sarawak.

Di Kedah, kawasan yang dijangka terjejas meliputi Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.

Sementara itu di Perak, amaran sama dikeluarkan bagi daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak. Di Johor pula, kawasan terlibat ialah Tangkak, Muar dan Batu Pahat.

Bagi kawasan Timur Malaysia, amaran cuaca buruk di Sabah membabitkan bahagian Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort) serta Pantai Barat (Papar, Ranau, Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang).

Di Sarawak, hujan lebat dan ribut petir dijangka menjejaskan kawasan Miri termasuk Subis, Beluru dan Marudi.

Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan berada di kawasan terbuka sewaktu kejadian ribut petir berlaku.

© 2026 TipTalk. All Rights Reserved.