KULIM — Seorang wanita berusia 39 tahun maut selepas disyaki ditikam sebanyak 13 kali oleh suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim pada malam Isnin.
Menurut polis, suspek berusia 43 tahun dipercayai menikam mangsa sebanyak tujuh kali di dada, lima kali di bahagian perut dan sekali di rusuk kanan menggunakan sebilah pisau lipat.
Tidak lama selepas kejadian, suspek hadir ke Balai Polis Lunas dan memaklumkan kepada pihak polis mengenai kejadian tersebut sebelum menyerahkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan.
Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran akibat cemburu.
Mangsa dibawa ke Hospital Kulim oleh ahli keluarga sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.30 malam. Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.