NEW YORK — Harga minyak melonjak lebih enam peratus pada Khamis dengan kedua-dua penanda aras utama melepasi AS$100 setong, susulan peningkatan serangan terhadap perkapalan yang mencetuskan kebimbangan gangguan lebih besar terhadap bekalan global.
Niaga hadapan minyak mentah Brent ditutup naik AS$6.42 (RM26.15) atau 6.34 peratus kepada AS$107.63 (RM438.38) setong.
West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) pula melepasi AS$100 buat kali pertama sejak Mei apabila meningkat AS$6.43 (RM26.19) atau 6.69 peratus kepada AS$102.48 (RM417.40) setong.
Kedua-dua penanda aras itu mencecah paras tertinggi sejak 19 Mei dan mencatat kenaikan harian paling besar dalam tempoh hampir dua bulan.
Lonjakan itu berlaku ketika serangan terhadap perkapalan meningkat ke paras paling tinggi sejak perang Iran bermula, menambah kebimbangan terhadap bekalan minyak yang sudah ketat.
Houthi yang disokong Iran mengambil alih kawalan pelabuhan Mocha di Yemen pada Khamis, sekali gus menambah ancaman terhadap trafik di Laut Merah.
Pada masa sama, trafik di Teluk masih terbatas menerusi Selat Hormuz ketika serangan terhadap kapal tangki di rantau itu semakin meningkat sejak beberapa hari lalu.
Ketua Pembangunan Perniagaan XS.com, Simon-Peter Massabni, berkata serangan dari Yemen terhadap kemudahan tenaga Arab Saudi mewujudkan sumber risiko baharu kepada pasaran dengan kebimbangan kini tidak lagi tertumpu kepada Iran dan Selat Hormuz semata-mata.
Menurutnya, ancaman kini berpotensi merebak ke laluan eksport serantau, tapak pengeluaran minyak dan infrastruktur tenaga lain. Presiden AS, Donald Trump, memberi amaran Washington mungkin menyerang Pickaxe Mountain di Iran yang terletak berhampiran kemudahan pengayaan uranium Natanz yang mengalami kerosakan teruk. Trump turut berkata perang berkenaan berkemungkinan berlarutan melangkaui pilihan raya pertengahan penggal AS pada November.
Iran berkata ia menyerang 10 kapal berhampiran Selat Hormuz pada Rabu selepas AS menyerang lima kapal tangki minyak Iran. Kor Pengawal Revolusi Islam Iran pula memberi amaran akan meningkatkan tindak balas terhadap sebarang serangan lanjut.
"Dengan prospek penyelesaian muktamad kepada konflik Iran semakin malap dan harga Brent baru-baru ini melepasi AS$100 buat kali pertama sejak Julai, pasaran minyak mentah kini memasuki normal baharu yang berpanjangan, dengan risiko gangguan bersifat berterusan dan bukan lagi sekali-sekala," menurut analisis S&P Global Energy.
Penganalisis berkata ketahanan kenaikan harga minyak selepas ini banyak bergantung kepada China, pengimport minyak mentah terbesar dunia. Penganalisis ING berkata China meningkatkan pembelian sejak beberapa minggu lalu selepas beberapa bulan mencatat permintaan lebih lembap, sekali gus mengukuhkan pasaran minyak mentah fizikal.
ING berkata, jika pembelian China terus pulih, keadaan itu boleh memperbesar impak sebarang gangguan bekalan dan mendorong harga lebih tinggi.
Sebaliknya, pengurangan import China boleh mengehadkan kenaikan pasaran.
"Selama beberapa bulan, hujah bahawa harga akan lemah bersandarkan kepada permintaan China yang lembap," kata Ketua Pasaran Minyak Global ICIS, David Jorbenaze.
Di AS, inventori minyak mentah susut 391,000 tong kepada 424.1 juta tong minggu lalu apabila aktiviti penapisan kekal kukuh, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).
Penganalisis sebelum ini menjangkakan inventori susut 1.55 juta tong. Dalam perkembangan lain, OPEC menurunkan unjuran pertumbuhan permintaan minyak dunia bagi 2026 kepada 380,000 tong sehari, menandakan semakan menurun untuk bulan kelima berturut-turut.
Pengeluaran minyak OPEC pula susut 640,000 tong sehari pada Ogos, menurut tinjauan Reuters, apabila eksport Arab Saudi berdepan gangguan baharu akibat perang di Iran, manakala sekatan AS menjejaskan penghantaran minyak Iran.