Jerebu Di Sarawak Membimbangkan, Bacaan IPU Loncat Ke 495 Hampir Isytihar Darurat

KUCHING - Keadaan jerebu di Sarawak kembali meruncing apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian melonjak secara mendadak, sekali gus meletakkan kawasan berkenaan kini di ambang fasa darurat.

Berdasarkan data terkini daripada portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), bacaan IPU di Serian mencatatkan kadar 495 setakat jam 7 pagi tadi, menjadikannya satu-satunya kawasan di Malaysia yang berada pada paras sangat berbahaya.

Lonjakan bacaan ini dikesan bermula sekitar jam 6 petang semalam, sekali gus memadamkan gambaran pemulihan kualiti udara yang dilaporkan berlaku dalam tempoh 24 jam sebelum ini.

Selain Serian, tiga lagi wilayah di Sarawak mencatatkan kadar kualiti udara pada paras Amat Tidak Sihat iaitu Kuching dengan bacaan 289, Samarahan pada kadar 265, dan Sri Aman mencatatkan 250.

Sementara itu, lapan lagi lokaliti di seluruh negara termasuk dua kawasan di Sabah turut merekodkan bacaan di bawah julat 200 iaitu dalam kategori tidak sihat.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjelaskan bahawa pengisytiharan darurat akan dibuat sekiranya bacaan IPU melangkaui paras 500, yang bakal menyaksikan penutupan sektor awam serta swasta kecuali perkhidmatan penting.

© 2026 TipTalk. All Rights Reserved.