Astro Catat Aliran Tunai RM113 Juta Dan Pengguna Sooka Melepasi 1 Juta

KUALA LUMPUR - Langkah berterusan Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) memperkemas kecekapan operasi serta memperluas segmen penstriman terus membuahkan hasil positif apabila kumpulan itu berjaya menjana aliran tunai bebas kukuh sebanyak RM113 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 (Q2FY27).

Didorong oleh kawalan kos asas yang ketat, Astro mengekalkan margin EBITDA yang stabil pada paras 20 peratus dengan perolehan EBITDA sebanyak RM130 juta bagi suku berkenaan.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, Astro mendedahkan prestasi operasinya terus dipacu oleh penerimaan luar biasa terhadap platform penstriman digital.

Platform Sooka Lonjak 52%, Astro X3 Dikenalkan

Jumlah pelanggan VIP berbayar bagi platform penstriman sooka mencatatkan lonjakan 52 peratus tahun ke tahun (YoY), didorong oleh minat tinggi terhadap liputan sukan serta kandungan tempatan. Ini sekali gus membawa angka pengguna aktif bulanan (MAU) sooka melepasi ambang satu juta.

Bagi mengukuhkan capaian pasaran mampu milik, Astro turut melancarkan Astro X3 pada suku ini—tawaran perkhidmatan penstriman tanpa dekoder, tanpa pemasangan, dan tanpa kontrak pada harga yang lebih fleksibel.

Walau bagaimanapun, ketidaktentuan pasaran mata wang memberi tekanan kepada keuntungan bersih syarikat, menyaksikan Astro merekodkan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATAMI) sebanyak RM26 juta.

Kerugian ini berpunca daripada kerugian pertukaran mata wang asing (forex) belum direalisasi ke atas liabiliti pajakan transponder susulan penyusutan nilai Ringgit. Kumpulan itu mencatatkan keseluruhan hasil sebanyak RM634 juta, menyederhana empat peratus berbanding suku sebelumnya.

Dominasi Kandungan Tempat Mampu Cipta Nilai Mampan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Interim Astro, Henry Tan, menegaskan bahawa syarikat sedang mengambil pendekatan proaktif untuk mengemudi perniagaan di tengah-tengah perubahan pesat industri media.

"Hala tuju kami jelas; menjangkau lebih ramai rakyat Malaysia, meningkatkan nilai kandungan serta penglibatan pelanggan, dan membangunkan sumber pendapatan baharu menerusi penstriman, pengiklanan dan perniagaan berkaitan," jelas Henry.

Astro terus mengukuhkan dominasinya dalam industri perfileman dengan menguasai 52 peratus bahagian pasaran kutipan pecah panggung (GBO) tempatan menerusi filem terbitannya seperti Terbang.

Di samping itu, tiga judul tempatan diterbitkan Astro iaitu Tarung: Unforgiven, Good Boys Go to Heaven, dan Kudrat 1968: High Council berjaya menduduki carta teratas di platform Netflix, manakala komitmen penyiaran sukan diteruskan menerusi kerjasama strategik bersama RTM bagi Sukan Komanwel Glasgow 2026.

© 2026 TipTalk. All Rights Reserved.