Siasatan Dibuka Ke Atas Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi Didakwa Terlibat Konflik Kepentingan

PARIS - Presiden gergasi kelab bola sepak Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi, kini berada di bawah siasatan pihak berkuasa Perancis berhubung dakwaan konflik kepentingan membabitkan hak penyiaran saingan Ligue 1.

Siasatan awal berkenaan difokuskan kepada rundingan hak penyiaran liga domestik itu pada tahun 2024, berserta peranan bertindih Al-Khelaifi sebagai pemegang tampuk kepimpinan PSG dan Pengerusi beIN Media Group.

Walau bagaimanapun, Al-Khelaifi bersama pengurusan beIN dengan tegas menafikan sebarang unsur konflik kepentingan atau salah guna kuasa dalam rundingan tersebut.

Menurut sumber terdekat, Al-Khelaifi dilaporkan telah menarik diri daripada hampir kesemua mesyuarat Lembaga Pengarah Ligue de Football Professionnel (LFP) sepanjang tahun lalu, terutamanya sesi yang menyentuh urusan perniagaan beIN.

Pihak beIN turut menegaskan bahawa Al-Khelaifi tidak memegang sebarang tanggungjawab operasi atau eksekutif secara langsung dalam kumpulan itu mahupun anak syarikatnya, beIN Sports France, sebaliknya peranan berkenaan digalas sepenuhnya oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan, Yousef Al-Obaidly.

Untuk rekod, pembukaan siasatan awal oleh pihak berkuasa Perancis ini merupakan prosedur biasa dan tidak membuktikan wujudnya sebarang kesalahan undang-undang atau kesalahan jenayah setakat ini.

© 2026 TipTalk. All Rights Reserved.